Rakyat Malaysia sebelum ini terpaksa menanggung kos untuk mendapatkan pembantu rumah antara RM12,000 hingga RM18,000 selain terpaksa menanggung kerugian jika amah lari dari rumah.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo memberitahu bermula tahun hadapan pembantu rumah dari Kemboja akan dibawa masuk seawal Mac 2018.

Beliau berkata ketua keluarga yang memerlukan pembantu rumah boleh memohon menerusi agensi-agensi pekerjaan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memohon.

“Kita masih belum dapat tentukan kos untuk mendapatkan pembantu rumah dari Kemboja dan jumlah bayaran masih dikaji.

“Namun kita akan pastikan kosnya lebih murah berbanding mengambil amah dari Indonesia serta tidak membebankan majikan yang memerlukan pembantu rumah.

“Bagi memenuhi keperluan majikan yang beragama Islam, pihak agensi dari Kemboja akan memaklumkan kepada warganegaranya yang beragama Islam untuk menjadi pembantu rumah di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, warga Kemboja yang dibawa masuk untuk jadi pembantu rumah perlu menghadiri kursus orientasi untuk mempelajari pelbagai perkara mengenai negara kita termasuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu,” katanya selepas menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan Kementerian Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja hari sambil disaksikan oleh menterinya Dr. Ith Samheng hari ini.

Tambah Jeffrey, antara intipati MOA adalah memastikan keselamatan para pekerja Kemboja yang bekerja sebagai pembantu rumah terjamin.

“Agensi pekerjaan akan membekalkan telefon pintar lengkap dengan aplikasi keselamatan oleh Agensi Pekerjaan Swasta (APS) kepada setiap warga Kemboja yang dibawa masuk.

“Selain itu, garis panduan untuk mengambil pembantu rumah juga akan diberikan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjamin sepanjang menjadi pembantu rumah.

“Sementara jaminan bagi majikan pula, kita menjangkakan mereka akan bekerja sekurang-kurangnya dua tahun. Jika terdapat masalah, majikan boleh berhubung dengan agensi pekerjaan yang menyediakan pembantu rumah,” katanya. - UTUSAN ONLINE