Persatuan-persatuan yang me­nandatangani aku janji bersama Kementerian Sumber Manusia itu adalah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, pihaknya berbesar hati dengan kesungguhan setiap pihak terlibat untuk menangani isu diskriminasi terhadap pekerja itu.

“Melalui aku janji ini diharap­kan hotel yang terlibat akan me­matuhi segala yang telah di­persetujui dan isu larangan bertudung tidak akan timbul lagi kerana kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia tidak akan sesekali berkompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian da­­lam sidang akhbar selepas me­­­nyaksikan wakil tiga persatuan hotel berkenaan menandatangani persefahaman aku janji dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd. Jeffrey Joakim di sini.

Wakil-wakil persatuan yang ter­babit adalah Presiden MAH, Cheah Swee Hee; Ahli Majlis MYBHA, Mohamed Zamri Mohamed Rashid dan Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M. Said.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

Polisi larangan bertudung terhadap pekerja wanita beragama Islam yang dikenakan beberapa hotel di negara ini telah menimbulkan kontroversi sejak beberapa bulan lalu dengan 13 hotel didapati melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan.