Video MEDIA SOSIAL

Aksi lelaki yang dikatakan merupakan kakitangan ILP itu sendiri dirakam salah seorang pelajar sebelum video berdurasi 28 saat itu menjadi tular di laman sosial Facebook sejak beberapa jam lalu dan mendapat kecaman warganet.

Dalam rakaman kejadian yang dipercayai berlaku pada sebelah pagi ini, lelaki berkenaan dilihat dalam keadaan marah-marah sebelum bertindak menendang tiga motosikal di perkarangan surau ILP Kota Bharu.

Difahamkan, pagi ini merupakan sesi pendaftaran pelajar lama ILP dan rata-rata mereka melapor diri sambil ditemani ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Mengikut peraturan ILP Kota Bharu, kenderaan luar dilarang masuk ke kawasan institut itu namun hari ini, orang ramai yang menghantar anak masing-masing bertindak meletak motosikal mereka di hadapan surau yang lebih dekat dengan kawasan asrama.

Seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 45, berkata, dia kesal dengan perbuatan lelaki terbabit yang disifatkan biadab, melampau dan di luar dugaan bagi seorang yang berjawatan tinggi sepertinya.

"Saya mohon pihak ILP menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Sebagai seorang tenaga pengajar dia perlu lebih berhemah dalam menangani sebarang isu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan beliau sudah memaklumkan insiden tersebut untuk perhatian Ketua Pengarah ILP di ibu pejabat.

“Hari ini merupakan sesi pendaftaran pelajar lama dan memang semua sudah sedia maklum bahawa sebarang kenderaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam kampus. Mereka perlu letak kenderaan masing-masing di luar kampus.

"Saya kesal dan memohon maaf kepada semua pihak serta ibu bapa yang terlibat. Kita akan melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian ini,” katanya ketika dihubungi. - UTUSAN ONLINE