Beliau yang tiba seawal pukul 9.34 pagi itu dilihat mengadakan 'lawatan' ke bangunan tersebut sebelum bersama-sama pegawai lain bergotong-royong membersihkan serta menanam pokok di persekitaran kompleks tersebut sejurus itu.

Turut bersama-sama beliau adalah Hakim Has Zanah Mehat, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid, Hakim Datuk Suffian Abdul Razak, Hakim Datuk Ahmad Firuz Jaffil , Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab.

Difahamkan kira-kira 120 pekerja pembersihan bangunan mahkamah itu melancarkan mogok sejak 7 Julai lalu kerana tidak dibayar gaji bermula Hari Raya Aidilfitri.

Susulan daripada itu, hakim dan kakitangan mahkamah Jalan Duta dan Putrajaya diberi notis untuk membersihkan kawasan bangunan itu semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di kantin mahkamah itu mendapati pinggan-mangkuk terbiar atas meja tanpa dibersihkan.

Beberapa kakitangan juga kelihatan membersihkan tandas kompleks tersebut.

Kontraktor yang bertanggungjawab itu dikatakan sudah menerima bayaran daripada kerajaan untuk perkhidmatan pembersihan hingga akhir tahun ini. - UTUSAN ONLINE