Video oleh HAKIMI ISMAIL

Bagaimanapun Ahmad Zahid enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu dan hanya mengesahkan beliau akan hadir sekali lagi esok untuk memberi keterangan kepada SPRM.

“Saya tidak berhasrat untuk membuat sidang akhbar, cuma saya berasa lega atas kesetiaan rakan-rakan media yang menunggu saya walaupun dalam hujan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan hadir lagi esok untuk memberi keterangan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan datang lagi dan waktu terpulang atas permintaannya.

“Saya akan hadir lagi esok, waktu atas permintaan saya ” jelasnya dengan ringkas sebelum terus memasuki kereta.

Terdahulu Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki kereta jenis Lexus berwarna putih dan kemudiannya dilihat keluar pada pukul 6.15 petang.

Ini merupakan kali keempat Ahmad Zahid memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi.

Semalam Ahmad Zahid telah memberi keterangan selama lapan jam kepada SPRM selain dipanggil untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu. - UTUSAN ONLINE