Bagaimanapun Ahmad Zahid enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu dan hanya mengesahkan beliau akan hadir sekali lagi esok untuk tujuan yang sama.

“Saya tidak berhasrat untuk membuat sidang akhbar, cuma saya berasa lega atas kesetiaan rakan-rakan media yang menunggu saya walaupun dalam hujan.

“Saya akan hadir lagi esok, waktu (masa) atas permintaan saya,” jelasnya ketika ditemui pemberita di luar bangunan Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba di Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki kereta jenis Lexus berwarna putih dan kemudiannya dilihat keluar pada pukul 6.15 petang.

Ini merupakan kali keempat Ahmad Zahid memberi kete­rangan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewe­ngan dana membabitkan yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi.

Semalam Ahmad Zahid telah memberi keterangan selama lapan jam kepada suruhanjaya itu selain dipanggil untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu.

Turut hadir memberi kete­rangan berhubung kes yang sama hari ini ialah anak serta menantu Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusoff.

Difahamkan sesi mengambil keterangan membabitkan Nurulhidayah dan Saiful Nizam selesai lebih awal.