Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Azizah; Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong serta Pemangku Panglima Angkatan Tentera yang juga Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku pemerintah tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan Hari Kepute­raan Sultan Muhammad V.

Sebanyak lima panji-panji diarak dalam istiadat itu iaitu Panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Dataran Pahlawan Negara pada pukul 10.55 pagi itu disambut dengan nyanyian lagu Negaraku bersekali dengan tembakan meriam kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat diraja oleh perbarisan terdiri daripada 28 pegawai dan 560 anggota lain-lain pangkat merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dengan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Othman.

Perbarisan selama sejam itu turut dimeriahkan dengan acara terbang lintas lima helikopter milik ATM yang membawa bendera Jalur Gemilang, ATM, TDM, TLDM dan TUDM yang diketuai oleh Mejar Narul Nizam Ismail.

Menyusul kemudian, istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat diikuti laungan Daulat Tuanku! sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara dan diakhiri dengan bacaan doa.

Turut dipersembahkan ialah acara pancaragam yang mengi­ringi istiadat perbarisan tersebut oleh gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Mejar Muhammad Nor Azizan Yahya. - UTUSAN ONLINE