Terdahulu, jenazah dimandikan dan dikafankan di kediamannya di Batu 19, Jalan Sungai Lalang dekat sini serta disembahyangkan di Masjid Kampung Pasir.

Sebelum dikebumikan, Allahyarham Bakhtiar,57, turut menerima penghormatan daripada ribuan kenalan rapat pelbagai kaum, sanak saudara serta penduduk-penduduk Semenyih.

Turut memberi penghormatan terakhir ialah beberapa pemimpin Pakatan Harapan termasuk Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Hadir sama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya bagi mewakili Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak dapat menziarah kerana terikat dengan beberapa mesyuarat penting.

Abu Bakar turut menyerahkan sumbangan ikhlas daripada Perdana Menteri kepada keluarga Allahyarham bagi memudahkan urusan keluarga.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang kira-kira pukul 4.45 pagi tadi akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan isteri, Basirah Sardiq Muhammad, 49, serta lima orang anak terdiri daripada Nurul Filzah Bakhtiar,29; Fakhrol Alma Bakhtiar (24); Fitri Al-Amin Bakhtiar (21); Siti Aishah Bakhtiar (19) dan Eisma Illmi Baktiar yang berusia sembilan tahun dan seorang cucu perempuan.

Isteri Allahyarham, Basirah ketika ditemui pemberita berkata, suaminya mengadu mengalami sesak nafas pada kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Katanya, Allahyarham sebelum ini menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan mempunyai komplikasi buah pinggang sejak dua tahun lalu.

“Kira-kira pukul tiga dia bangun pergi bilik air dan muntah, YB (Yang Berhormat) cakap dia sesak nafas, dia tak boleh bernafas dan suruh kejutkan anak lelaki hantar ke hospital,” katanya.

Sementara itu, seorang anak Allahyarham, Fitri Al-Amin memberitahu, bapanya ada mengadu sakit dada dalam kira-kira tiga hari lepas sehinggalah yang terakhir pada awal pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Bakhtiar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih dengan majoriti 8,964 undi menewaskan Datuk Johan Abd. Aziz (Barisan Nasional), Mad. Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia). - UTUSAN ONLINE