Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, berdasarkan perkembangan positif ditunjukkan Muhammad Adib dari semasa ke semasa beliau percaya anggota bomba terbabit boleh sembuh sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Perhatian yang diberikan terhadap Muhammad Adib oleh pihak Institut Jantung Negara (IJN) adalah kelas pertama dan beliau akan pulih semula seperti orang muda berusia 24 tahun.

“Keluarga Muhammad Adib juga nampak lebih ceria melihat perkembangan beliau... ibu bapanya lebih gembira berban­ding hari pertama mereka tiba melihat Muhammad Adib... mereka ucap terima kasih kepada semua,” katanya da­lam sidang akhbar selepas melawat Adib di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim berkata, Muhammad Adib akan terus diletakkan di dalam ICU bagi mempercepatkan kesembuhannya.

“Proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar, kita puas hati dengan perkembangan positif Muhammad Adib dari semasa ke semasa yang kini berada pada tahap 70 peratus seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Muhammad Adib akan terus kekal di ICU, kita harap perkembangan yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” ujarnya.

Sementara itu, IJN dalam kenyataannya memberitahu, sejak Muhammad Adib menggunakan sistem Veno-Venous ECMO pada Ahad lalu, jantungnya te­lah dapat berfungsi sendiri dengan lebih baik.

“Paru-paru kiri­nya mula menunjukkan tanda-tanda penyembuhan awal dan dia kini tidak memerlukan begitu banyak bantuan oksigen dan alat ventilator sejak malam tadi,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, buah pinggang Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis walaupun organ tersebut sudah bertambah baik.