Video Oleh FARID JANUDIN

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga dan sanak-saudara sebaik sahaja jenazah anak tunggal kepada pasangan Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dan isterinya, Farah Madiha Othman, 28, itu diturunkan ke dalam liang di Tanah Perkuburan Ladang Tok Pelam, di sini.

Farah Madiha yang berjubah hitam dan bertudung coklat kelihatan sugul tidak bermaya di sisi suami dan keluarganya namun, tetap tabah menunggu sehingga proses itu selesai, seolah-olah membayangkan mereka reda dengan ketentuan Ilahi.

Kesedihan ahli keluarga turut dikongsi bersama rakyat negeri ini apabila hampir 1,000 orang turut hadir di perkuburan itu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Adam Rayqal yang dibawa dari Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur tiba di kediaman keluarga bapanya di Taman Cendering Utama di sini kira-kira pukul 9.25 malam.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman turut hadir menziarahi jenazah.

Ahli keluarga mengambil peluang menatap buat kali terakhir sebelum jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang kira-kira pukul 9.53 malam.

Semalam, polis menemukan mayat Adam Rayqal yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya.

Mayat Adam Rayqal dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dimasukkan ke dalam beg, ditemukan tersorok dalam ruang sejuk beku peti ais di rumah berkenaan.

Polis kemudian menahan pengasuh berusia 33 tahun dan rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati mayat Adam Rayqal mempunyai kesan retak dan pendarahan dalam di bahagian kepala. - UTUSAN ONLINE