Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6,020 iaitu 7.03% berbanding tahun lepas 85,636 murid.

“Bagi kemasukan pelajar tingkatan 1 juga meningkat berbanding tahun lepas sebanyak 72,153 kepada 82,411 tahun ini iaitu penambahan 10,258 (14.22%).

“Keseluruhan sesi persekolahan berjalan lancar dan murid-murid kelihatan teruja, ceria dan gembira,” katanya kepada pemberita selepas melawat hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Online juga mendapati ramai ibu bapa yang tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menghantar anak mereka pada hari pertama persekolahan.

Bagi kakitangan swasta, Nur Ilya Mazlan, 33, beliau sanggup mengambil cuti untuk menyediakan keperluan anak sulungnya memulakan hari pertama persekolahan.

“Semestinya saya tidak akan melepaskan peluang untuk menemani anak sulung ke sekolah, walaupun sebelum ini anak saya sudah biasa dengan sesi pembelajaran di taska dan tadika,” katanya.

Seorang bapa yang bekerja sendiri, Aedi Raman Aspin, 33, melahirkan rasa teruja kerana anak tunggal perempuannya melangkah ke alam persekolahan.

“Anak saya seorang yang berdikari, saya tengok dia gembira jadi ini menunjukkan perkembangan positif untuk hari pertama,” katanya. - UTUSAN ONLINE