Membariskan pelakon Douglas Lim dan Gavin Yap, teater ini merupakan pementasan pertama yang diterbitkan sepenuhnya oleh warga tempatan di pentas Broadway.

Pengarahnya, Terence Conrad berkata, The Public Theater merupakan platform penting bagi rakyat Amerika untuk menerbitkan karya baharu.

“Platform itu juga dapat mencambahkan lagi generasi muda yang melibatkan dengan diri mereka sebagai artis teater menerusi pementasan karya dan pembacaan oleh penulis-penulis terkenal di The Public Theater,” ujarnya.

Menurut Terence lagi, pementasan ‘Thicker Than Water’ adalah penerima geran dibawah Dasar Industri Kreatif (DIKN) yang diselia oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita pada sidang akhbar teater tersebut di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Jalan Ampang di sini, hari ini.

‘Thicker Than Water’ ialah sebuah karya yang berkisar tentang mencari identiti, impian dan cita-cita, dipersembahkan dalam bentuk humor tetapi menyelitkan maksud yang amat mendalam.

Karya itu juga secara sinis, mengingatkan generasi muda agar mempunyai jati diri yang kukuh dan berbangga dengan adat dan budaya masing-masing kerana hilang adat, hilanglah bangsa.

Beliau menambah, skrip menampilkan pencanggahan yang membentuk pendapat generasi muda Malaysia dalam mencari identiti sendiri di dunia yang dikuasai budaya barat.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, penerimaan ‘Thicker Than Water’ untuk dipentaskan di New York merupakan suatu yang amat membanggakan.

Namun begitu, kumpulan pementasan ini termasuk warga kerja di belakang tabir, berhadapan dengan kekangan kewangan untuk penginapan dan makan minum sepanjang mereka berada di New York.

Sehubungan itu, Norliza mengharapkan agar rakyat Malaysia yang prihatin dan pendukung pementasan, dapat menghulurkan bantuan yang dianggarkan sebanyak RM280,000.

“Jumlah itu untuk digunakan bagi menanggung tempat tinggal serta makan minum warga kerja yang terlibat dalam pementasan ‘Thicker Than Water’.

“Kita berharap, kutipan dapat dilakukan sebelum mereka ini berangkat ke New York pada April ini nanti,” katanya.

Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan dan bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kewangan, bolehlah berhubung terus dengan Terence di talian 012-2078447 atau emel [email protected] - UTUSAN ONLINE