Video oleh MOHAMAD IQBAL ROSLI

Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohd. Hafizi Zakaria berkata, di negeri ini, kawasan yang terjejas akibat masalah tersebut ialah di daerah ini dan Kangar.

MOHD. HAFIZI
MOHD. HAFIZI

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti masalah tersebut berpunca daripada faktor taburan hujan yang meningkat pada Ogos sehingga November tahun lalu iaitu ketika musim penanaman padi.

Katanya, selain faktor taburan hujan, penggunaan benih yang kurang berkualiti juga dilihat menjadi penyebab masalah padi angin.

"Kalau kita lihat daripada taburan hujan pada Ogos sehingga November tahun lalu direkodkan sebanyak 1,507 milimeter (mm) berbanding tempoh sama pada 2016 iaitu sekitar 936.3 mm. Faktor tersebut menyebabkan aktiviti penanaman padi terjejas.

"Masalah padi angin ini juga boleh berlaku apabila para petani menggunakan benih padi yang tidak berkualiti selain menggunakan sumber benih daripada penggeluar yang tidak berdaftar," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Hari ini, lebih 30 pesawah di Kampung Belat Batu di sini, kerugian hampir RM200,000 selepas tanaman mereka yang diusahakan di kawasan seluas 115 hektar di situ, berdepan dengan masalah padi angin.

Masalah sama turut dilaporkan di Sungai Baru Tengah, Simpang Empat baru-baru ini dengan lebih 16 petani di kawasan seluas 33 hektar itu terpaksa menanggung kerugian mencecah RM70,000.

Mengulas lanjut, Mohd. Hafizi berkata, bagi mengelakkan masalah tersebut berulang pada masa depan, pihaknya akan membimbing para petani bermula musim tanaman selepas ini iaitu pada April. - UTUSAN ONLINE