Ketua Sekretariat SL1M, Nor­ashikin Ismail berkata, penyertaan program selama dua hari yang berakhir hari ini, melebihi jumlah awal yang disasarkan iaitu seramai 30,000 pengunjung.

Menurutnya, pada hari pertama program semalam, seba­nyak 35,000 pengunjung hadir dan te­rus menjadi tumpuan pengunjung sehingga hari terakhir.

“Seawal pukul 7.30 pagi pe­ngunjung mula hadir berterusan sehingga ke lewat petang,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.



Menurut beliau, jumlah pe­ngunjung yang dicatatkan merupakan yang terbesar sejak program Temu Duga Terbuka SL1M dimulakan pada 2011.

“Saya percaya kehadiran ini banyak didorong oleh jumlah 15,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Itu yang menarik minat pe­ngunjung untuk hadir yang kebanyakan mereka terdiri daripada pencari kerja dan graduan menganggur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, pelbagai aktivi­ti menarik disediakan seperti persembahan artis, jualan gerai dan trak makanan serta pameran.

“Diharapkan sambutan yang menggalakkan akan kami terima pada program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu, Sabah pada 17 dan 18 Mac ini,” jelasnya.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam tentang elaun SL1M dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan tentunya menarik minat lebih ramai graduan untuk menyertai skim tersebut.