KUANTAN 15 Okt. - Pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati sebanyak 50 peratus daripada 956 pusat tahfiz yang diperiksa di seluruh negara berada dalam keadaan tidak selamat sekali gus boleh mengundang bahaya kepada penghuninya.
Video oleh ZAMZURINA AHMAD
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, statistik tersebut direkodkan bermula 23 September lalu dan akan dibentangkan minggu depan bagi melengkapkan pemeriksaan ke atas semua premis pusat tahfiz yang berdaftar sebanyak 1,117 buah.
“Setakat ini hanya 50 peratus didapati benar-benar selamat manakala bakinya tidak kerana sebahagiannya perlu banyak penambahbaikan terutama dalam menyediakan alat keselamatan kebakaran.
“Kami serius dalam perkara ini dengan mengeluarkan sebanyak 389 notis dan amaran agar pihak terbabit mengambil tindakan segera sebagai langkah pencegahan kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan, Kebakaran dan Pameran Inovasi 2017, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan terkini pemeriksaan jabatan berkenaan ke atas bangunan atau premis pusat tahfiz seluruh negara berikutan tragedi yang mengorbankan 23 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, antara kesalahan dilakukan yang boleh mengundang risiko keselamatan di pusat tahfiz tersebut adalah tidak mempunyai alat pemadam kebakaran, laluan keluar tidak mencukupi dan tiada ruang yang membolehkan penghuni keluar dengan selamat jika berlaku kebakaran.
Beliau berkata, pihaknya lebih memfokuskan kepada laluan keluar yang selamat jika berlaku kebakaran dan masih terdapat sebahagian pusat tahfiz mengabaikan aspek itu.
“Jika notis yang diberikan itu gagal dipatuhi, pengusaha pusat tahfiz boleh dikenakan tindakan termasuk didakwa di mahkamah,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah pusat tahfiz tertinggi diikuti Johor dan Kedah.
“Saya mencadangkan agar setiap premis mempunyai alat pengesan amaran awal sekiranya berlaku kebakaran bagi memudahkan penghuni keluar dengan segera,” katanya,
Sementara itu, berhubung majlis tersebut, katanya, ia merupakan usaha jabatan berkenaan mempromosikan kempen keselamatan dan kebakaran kepada masyarakat.
“Menerusi program ini, kita memberi pendedahan kepada orang ramai untuk mencegah dan bertindak apabila berlaku kebakaran atau apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya.