Ahli Lembaga Pengarah MAPS, Ramelle Ramli berkata, jumlah pengunjung yang ramai menunjukkan sambutan yang diterima amat baik walaupun masih ada beberapa kawasan tarikan yang masih belum dibuka kerana masih dalam proses ujian teknikal.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan mampu menerima kunjungan sehingga 10,000 pengunjung setiap hari khususnya ketika cuti umum dan hujung minggu selepas ia dibuka sepenuhnya nanti.

"Pembukaan hari pertama MAPS kepada orang ramai yang bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam turut berjalan lancar walaupun ada beberapa kawasan dan permainan yang masih belum beroperasi kerana masih dalam peringkat ujian di peringkat teknikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membawa media meninjau hari pertama pra pembukaan MAPS di sini semalam.


Video oleh SAYED HESHAM IDRIS

Menurut Ramelle, MAPS akan mengumumkan kepada orang ramai perkembangan tarikan yang masih belum dibuka dalam masa terdekat.

"Sehubungan itu, kami sangat mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pengunjung," katanya.

Katanya, sempena Aidilfitri, MAPS turut membuat promosi istimewa diskaun harga tiket pada harga RM131 bagi dewasa dan RM104 bagi kanak-kanak sehingga 1 Julai ini berbanding harga asal iaitu RM144 bagi dewasa dan RM114 bagi kanak-kanak pada hari biasa.

"Pengunjung yang sudah membeli tiket secara dalam talian sebelum ini boleh menebus tiket percuma bagi setiap pembelian satu tiket yang ditawarkan sehingga 1 Julai dan boleh ditebus untuk digunakan sah sehingga 30 September ini," katanya.

Menurutnya, pembelian tiket pada harga diskaun itu berbaloi ditambah dengan pemberian tiket percuma bagi setiap pembelian tiket pada tempoh promosi.

"MAPS menwarkan dengan 40 tarikan dan permainan yang boleh dicuba dan diterokai tidak terdapat dan ditawarkan di tempat lain," katanya.

Taman tema itu dibina dengan kos RM520 juta.

Dalam pada itu, Ramelle juga berkata, MAPS dengan kerjasama Tourism Perak dan Tourism Malaysia sedang giat mempromosikan  MAPS sehingga ke luar negara.

"Sekarang ini kita telah mengadakan promosi di beberapa negara termasuk China, India, Singapura, Thailand dan Indonesia”, katanya. - UTUSAN ONLINE