Antara kolej pertanian yang terlibat dalam projek jualan adalah seperti Kolej Pertanian Malaysia, Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN), Institut Teknologi Unggas Melaka, Pusat Latihan Mardi Serdang serta beberapa lagi.

Ujar Penolong Pengawai Perikanan Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian, Wan Nik Rohimah Kadir, kesemua pelajar tersebut menjual hasil industri asas tani seperti baja, anak pokok dan juga makanan berasakan produk tempatan.

"Bagi pengunjung yang belum berkesempatan singgah ke gerai jualan para pelajar ini, lokasinya adalah di tengah-tengah di antara laman Lola Baba dan juga Digital Village Mok Cun.

"Tak rugi berkunjung ke sini kerana banyak produk industri asas tani boleh didapati dengan harga yang cukup murah," katanya ketika ditemui Utusan Online di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Dalam pada itu, seorang pelajar Institut Teknologi Unggas Melaka, Muhammad Firdaus Mohd. Haniff, yang turut terlibat dalam projek jualan tersebut turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke MAHA 2018.

"Kalau nak dapatkan telur ayam dan telur puyuh yang kami ternak sendiri pun boleh. Yang pasti, harga yang kami tawarkan jauh lebih murah berbanding harga pasaran istimewa sehingga 2 Disember ini sahaja," katanya.

MAHA 2018 yang berbaki enam hari lagi turut menawarkan pelbagai produk jualan dengan harga promosi yang cukup menarik khas buat pengunjung yang memeriahkan program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini. - UTUSAN ONLINE