Malah ada dalam kalangan peserta tiba di lokasi penganjuran yang terletak di depan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi seawal pukul 6 pagi lagi dengan bagi menjayakan program sempena sambutan 100 tahun industri sawit negara itu.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din berkata, acara larian tersebut merupakan peringkat ketiga selepas diadakan di Sabah dan Sarawak pada Disember tahun lalu.

Katanya, selepas menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 1,000 di Sabah dan 3,000 di Kuching, Sarawak menyertai larian itu, acara tersebut dilebarkan ke Putrajaya di sini bagi kawasan Semenanjung.

“Kita menerima lebih 4,000 peserta berdaftar tidak termasuk mereka yang berkeluarga dan tetamu orang kenamaan (VIP). Jumlah penyertaan terpaksa dihadkan dan dikawal bagi memastikan penganjuran Larian Sawit dapat diuruskan dengan jayanya.

“Kita berterima kasih kepada masyarakat khususnya belia yang telah menyokong dan menjayakan larian pada hari ini,” katanya kepada Utusan Online selepas majlis penyampaian hadiah kuiz sawit hari ini.

Terdapat beberapa kategori dipertandingkan termasuk larian 10 kilometer (km), 5km dan 2km bagi VIP dengan 500 peserta pertama dihadiahkan medal dan minyak masak percuma oleh penganjur.

Disamping itu, turut diadakan beberapa aktiviti sampingan disediakan seperti kuiz sawit, pameran dan jualan produk berasaskan sawit, pertandingan mewarna serta demonstrasi masakan.

Sementara itu, ditanya adakah Larian Sawit akan dijadikan acara tahunan Ahmad Kushairi menolak kemungkinan tersebut.

“Larian Sawit ini didakan sempena meraikan sambutan 100 tahun industri sawit negara, mungkin tidak ada 100 tahun lagi.

“Kalau kita hendak buat mungkin sambutan ke-150 tahun, acara larian ini boleh dijalankan mungkin dalam acara-acara tertentu sahaja,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE