Video oleh NURULANUAR MANSOR

Agensi berkenaan, melalui Program Ceria Kembali Ke Sekolah Felcra yang diadakan sempena Karnival Detik 1118 yang berlangsung di Kampung Setia dekat sini telah menyumbangkan barangan persekolahan bernilai RM350 setiap seorang kepada 300 pelajar yang dikenal pasti datang dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).

Sumbangan berbentuk pakaian seragam, beg sekolah, stoking, buku latihan serta peralatan menulis tersebut telah diserahkan kepada pelajar berkenaan ahli Ahli DUN (ADUN) Barisan Nasional Kuang, Datuk Mohd. Abdul Shukur Idrus.

Abdul Syukur di dalam ucapan alu-aluannya berkata, pemberian bantuan oleh Felcra itu adalah sikap terpunyi yang harus dicontohi oleh semua syarikat milik kerajaan (GLC).

"Kesanggupan Felcra untuk turun padang membantu masyarakat luar menunjukkan tahap keprihatan syarikat tersebut dan memastikan rakyat di seluruh peringkat turut merasai nikmat kemakmuran negara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Felcra dan berharap langkah ini turut dicontohi oleh mana-mana GLC lain," kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Program Ceria Kembali Ke Sekolah Felcra di Kampung Setia, Kuang di sini.

Menyentuh perkara sama, Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Tengah Ahmad Salleh memberitahu, agensinya telah memperuntukkan kira-kira RM6.3 juta untuk Program Ceria Kembali Ke Sekolah untuk sesi persekolahan 2018.

Menurut beliau, peruntukkan tersebut telah digunakan untuk membantu 18,097 orang pelajar yang terdiri daripada keluarga dalam golongan B40.

Katanya, bantuan tersebut adalah bertujuan untuk meringankan beban isi rumah di samping memastikan keselesaan pelajar-pelajar untuk memulakan sesi persekolahan akan datang.

"Mereka yang menerima bantuan ini dipilih daripada anak-anak keluarga B40 yang dalam kalangan keluarga peserta, anak kakitangan serta masyarakat berhampiran kawasan operasi Felcra.

"Bantuan berkenaan termasuklah beg sekolah, pakaian seragam sekolah, alat tulis dan kasut yang nilai keseluruhannya RM350 bagi setiap penerima," katanya. - UTUSAN ONLINE