Menurut salah seorang penceramah terlibat, Ambya Abu Fathin yang berasal dari Indonesia, menerusi seminar tersebut para peserta diterapkan dengan semangat baharu bahawa al-Quran itu sentiasa mudah untuk dipelajari dan dihafal. 

“Sepatutnya al-Quran yang menjadi petunjuk hidup dirasakan sebagai kegembiraan oleh umat dan bukan sesuatu yang menakutkan untuk dipelajari. Sebab itu kami tampilkan pelbagai kaedah dan teknik supaya orang lebih seronok untuk mempelajari al-Quran. 

“Sama ada muda atau tua, umur bukan penghalang kerana sahabat nabi dulu apabila mereka mengenal al-Quran, mereka juga bukannya muda. Jadi tiada alasan untuk mana-mana individu sama ada tua atau muda berterusan mempelajari al-Quran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Seminar tersebut dihadiri kira-kira 270  orang peserta terdiri daripada kakitangan dan pegawai UUM, orang awam serta pelajar-pelajar tahfiz. 

Mengulas lanjut, beliau yang merupakan Pengasas Akademi Cordoba di Bandung, Indonesia berkata, terdapat tiga perkara penting yang perlu ditekankan seorang individu setiap kali mahu mempelajari al-Quran. 

“Tiga faktor itu adalah perasaan cintakan Allah, semangat mahu mempelajari al-Quran kerana Allah serta keyakinan bahawa mempelajari al-Quran itu mudah. 

“Dalam surah tertentu, Allah telah menyatakan bahawa al-Quran itu telah dimudahkan untuk dipelajari tetapi kita seolah-olah bersangka buruk (suudzon) dengan Allah apabila menyatakan perkara itu susah. Kita perlu mohon keampunan daripada Allah jika kita bersikap begitu,” katanya. - UTUSAN ONLINE