Semua NGO yang bernaung di bawah Sekretariat NGO Pendaulat Islam (Sendi) dan Pakatan Ekonomi dan Dakwah NGO (Pack-Ecdah) itu menyerahkan memorandum tersebut pada pukul 3 petang di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Menurut Presiden Persatuan Usahawan, Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (UrusKop), Datuk Seri Dr. Mustapa Kamal Maulut, memorandum itu turut meminta kerajaan memperkasakan pendidikan tahfiz negara.

“Kita sepakat mahu Jakim dikekalkan serta diperkasa di bawah kerajaan baharu dan jabatan itu juga perlu distrukturkan semula supaya program anjurannya tidak mudah dimanipulasi untuk kempen politik.

“Kita juga meminta kerajaan menambah bajet yang diberikan kepada Jakim untuk mengembangkan Islam, selain membangunkan maahad tahfiz dan madrasah,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum itu di sini hari ini.

Memorandum tersebut dite­ri­ma oleh wakil pejabat Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana, Shaarani Abdul Rahman.

Menurut Mustapa Kamal, pihak­nya juga meminta Perdana Menteri mewartakan dasar pendidikan tahfiz negara di Parlimen, selain memberi bantuan pembangunan kepada institusi tahfiz dan madrasah.

“Kita juga mahu kerajaan mengiktiraf pelajar lepasan pusat tahfiz dan madrasah untuk diterima ke dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), selain menyediakan biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara,” katanya.

Selain itu katanya, sekiranya bajet yang diperuntukkan kepada Jakim diperluaskan, pihaknya ya­kin jabatan itu dapat mendorong kepada kemajuan industri halal terutamanya di peringkat antarabangsa.

“Mengurangkan peranan dan fungsi sedia ada atau penghapusan Jakim hanya akan menjadikan kita berundur ke belakang dan menyongsang arus kebangkitan Islam, lebih dari itu, ia satu perbuatan menidakkan hak umat Islam dan orang Melayu yang hidup bersendikan agama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademik Darul Huffaz International, Lokman Shazly Zaharin berkata, suara-suara sumbang yang mendesak kerajaan me­ngurangkan pengaruh Islam amat berbahaya dan melampaui batas sensitiviti kaum dan agama.

“Golongan penentang institusi Islam ini cuba menghalalkan ideologi sekularisme, liberalisme dan aktiviti fasad dan mungkar melalui penghapusan institusi-institusi Islam tanpa menyedari perbuatan mereka bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

“Fenomena ini jika dibiarkan akan mencetuskan konflik agama dan perkauman yang serius bagi sebuah negara bermasyarakat maj­muk seperti Malaysia. Kerajaan baharu perlu peka dan mengambil serius mengenai perkara ini, katanya.

Dalam pada itu katanya, pi­haknya juga mendesak Perdana Menteri mengarahkan pihak ber­kuasa mengambil tindakan terhadap individu-individu yang me­nghasut dan menghina Islam melalui kenyataan yang celupar, berniat jahat dan melampau.