Pengasas dan Penganjurnya, Jason Hee Jee Pin berkata, pertandingan yang berkonsepkan 1 Malaysia itu disertai oleh semua kaum bagi mempromosikan budaya warisan kepada pelancong.

Katanya, berbeza dengan pertandingan ratu cantik yang lain, MMK memfokuskan kepada pendidikan budaya dan warisan kepada para pesertanya.

“Mereka ini nanti akan menjadi duta budaya dan warisan bagi mempromosikan kebudayaan dan pelancongan kepada dunia.

“Oleh itu, sepanjang tiga bulan sebelum pertandingan bermula, mereka akan didedahkan dengan dunia pentas bagi meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai MMK 2017/2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor

Jason Hee berkata, pemenang akan membawa wang tunai berjumlah RM50,000 dan akan mewakili Malaysia dalam Miss & Mrs 2018 Kebaya World yang dijangka akan berlangsung tahun depan. 

Sementara itu, peserta, Amrit Kaur Dhillon, 27, berkata, dia berbangga menyertai MMK dalam memperkenalkan warisan budaya kepada masyarakat terutamanya pelancong asing. 

"Kebaya merupakan pakaian kegemaran saya dan ia merupakan salah satu pakaian warisan yang perlu dipelihara dan ditonjolkan kepada negara luar," katanya.

Dalam pada itu, ahli kaji bumi, Mariannya Ismail, 32, berkata, biarpun sibuk bekerja namun dia tetap mengambil peluang untuk menyertai MMK kerana minatnya yang mendalam terhadap busana tradisional terutamanya kebaya.

"Selain itu, MMK juga merupakan platform kepada saya untuk meluaskan perniagaan atas talian yang sedang saya usahakan sekarang iaitu Stagemoda," ujarnya. - UTUSAN ONLINE  

Video oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN