Video oleh ABDUL YAZID ALIAS

Tinjauan Utusan Online di Plaza Tol Sungai Rasau malam ini mendapati, para pengguna jalan raya turut meraikan penutupan operasi kutipan kedua-dua tol itu, malah ada di antara mereka turut menekan hon kenderaan masing-masing sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat itu.

Pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau yang dibuat 20 tahun lebih awal dari tempoh perjanjian konsesi yang sepatutnya tamat pada 2038 itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu sebagai antara usaha untuk mengurangkan beban rakyat.

Selain kedua-dua tol tersebut, pemansuhan kutipan turut melibatkan kutipan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuh Raya Penyuraian Johor Timur (EDL), Johor berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Dianggarkan kira-kira 270,000 penduduk sekitar Shah Alam dan Klang menerima manfaat daripada insiatif pemansuhan kutipan tol itu dari segi pengurangan perbelanjaan kewangan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan penutupan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau akan memberi lebih penjimatan perbelanjaan rakyat khususnya di kawasan Shah Alam dan Klang.

"Penutupan tol ini tanda keperihatinan kerajaan BN terhadap denyut nadi rakyat selain perjuangan yang konsisten yang dilakukan oleh UMNO Bahagian Shah Alam.

"Saya fikir kalau masa zaman Tun. Dr. Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, dia buat tol. Tapi zaman Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Perdana Menteri dua tutup tol," ujarnya.

Terdahulu, Noh merasmikan majlis kesyukuran pemansuhan kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau serta sambutan tahun baharu 2018 Plaza Tol Sungai Rasau, malam ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin;  Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr. Ir. Ismail Md. Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Plus Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail serta hampir 1,000 masrakat di sekitar kawasan Shah Alam dan Klang. - UTUSAN ONLINE