Video oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

Presiden Gamis, Faizzudin Mohd. Zai berkata, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sudah menjadi bahan debat lama tetapi kerajaan khususnya Menteri Pendidikan, Maszlee Malik tidak tegas mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan.

“Sistem pendidikan sedia ada sekarang masih relevan buat masa sekarang dan jika mahasiswa tidak bersuara, sistem itu akan ditolak oleh timbalan menteri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan aman bantah UEC, di sini hari ini.

Sebelum itu lebih 200 pelajar institut pengajian tinggi awam termasuk Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia turut serta dalam perhimpunan itu.

Kesemua peserta perhimpunan itu mula berkumpul di Masjid Negara, di sini kira-kira pukul 2 petang sebelum bergerak secara berasingan ke dataran Sogo dan berkumpul hingga pukul 5 petang.

Tambah Faizzudin, mereka juga akan melakukan siri jelajah ke semua universiti tempatan untuk mengumpul petisyen bagi membantah pengiktirafan UEC.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, seramai 65 anggota dikerah ke lokasi perhimpunan.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kita akan siasat dulu apa motif sebenar perhimpunan tersebut,” katanya sambil memaklumkan akan memanggil penganjur untuk membantu siasatan sekiranya perlu.