Keadaan itu menyukarkan mereka kerana terpaksa menggunakan air telaga, air sungai dan air hujan yang tidak terjamin mutu kebersihannya.

Rata-rata penduduk kampung berkata, mereka sudah jemu membuat aduan kepada pihak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana sehingga kini masalah mereka tidak pernah selesai namun dalam masa sama, masih perlu membayar bil air sehingga RM30 sebulan.

Seorang penduduk yang juga orang kurang upaya (OKU), Azahar Hussin, 35, berkata, masalah air di kampung ini dilihat semakin meruncing apabila mereka terpaksa menggali perigi kerana tidak menerima bekalan air seperti kampung lain.

Katanya, penduduk terpaksa berbelanja hampir RM2,000 untuk menggali telaga, membeli tangki air, penyedut air dan penapis air.

"Saya terkilan apabila memikirkan masalah air yang terpaksa diangkut dari sungai kerana kedua ibu bapa saya sudah tua dan diri sendiri juga tidak berupaya kerana kaki cacat.

"Sudah puas kami merayu agar bekalan air disalur ke kampung ini kerana sudah lama kami menderita tiada air bersih," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tuan Nor Hasfaliza Tuan Hassan, 38, yang menetap selama 18 tahun di kampung itu pula berkata, pada bulan Ramadan lalu mereka langsung tidak mendapat bekalan air.

Katanya, bekalan air sebelum ini terhad menyebabkan mereka terpaksa berjaga awal pagi untuk menadah air. - UTUSAN ONLINE