Ahmad Humairi Razalli, 57, dan Sukri Mustafa, 42, yang merupakan pendidik dipilih bersama seorang lagi pemenang Mohd. Nadzim Baharuddin, 40, untuk memenangi hadiah berupa pakej percutian tiga hari dua malam di Hotel Avillion Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tiga lagi pembaca setia E-Paper Utusan Malaysia, Mohd. Fauzi Eyan, 52; Wan Shahanul Johan Haris, 41; dan Zainal Ariffin Mohd. Zabidi, 54; pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 sebagai tanda penghargaan syarikat kepada pelanggan setia.

Sukri berkata, peraduan seperti ini sangat dialu-alukan kerana bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara pembaca setia dan syarikat penerbitan akhbar malah dilihat sebagai perhargaan besar Utusan Malaysia kepada pelanggannya.

Beliau yang melanggan e-Paper di bawah program Tablet Guru yang turut mengandungi aplikasi Tutor Guru memberitahu, pembacaan menerusi e-Paper disifatkan lebih praktikal kerana mudah dibawa dan diakses walau di mana sahaja dia berada.

“Mungkin rezeki saya terpilih bagi memenangi hadiah siri satu ini. Saya mula pada mulanya mencuba secara suka-suka dan akhirnya percubaan itu membuahkan hasil.

“Caranya yang mudah dengan hanya mengisi maklumat yang diperlukan setiap kali membuka e-Paper membuatkan pembaca mudah menyertainya. Jadi, hadiah ini saya akan gunakan untuk membawa keluarga bercuti ketika musim cuti sekolah Mac nanti,” katanya selepas menerima hadiah berkenaan di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Hadiah disampaikan kepada pemenang oleh Pengarang Kanan Unit Media Baharu Utusan, Aznan Bakar.

Setiap bulan selama setahun enam pembaca akan dipilih sebagai penerima hadiah penghargaan e-Paper Utusan Malaysia.

Akhbar digital Utusan Malaysia boleh dilanggan untuk tempoh seminggu, sebulan, tiga bulan, enam bulan atau setahun dengan kadar antara RM6 hingga RM180.

Untuk maklumat lanjut dan untuk melanggan sila layari e.utusan.com.my. - UTUSAN ONLINE