Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Mohd. Azmi Mohd. Yusof berkata, antara fokus utama program tersebut adalah memartabatkan semula muzium dengan menjadikannya sebagai satu daripada platform pembelajaran kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Kita mahu memberi pendidikan melalui muzium kerana terdapat banyak disiplin pembe­lajaran secara nyata yang boleh dipelajari pelajar seperti sains, biologi, sejarah dan sebagainya,

“Jika dahulu, pameran di muzium mungkin sering dikaitkan dengan fokus terhadap sejarah semata-mata tetapi kali ini banyak tarikan baharu yang mampu menarik perhatian pelajar ketika datang ke sini,” katanya selepas mela­kukan lawatan bersama pegawai JMM ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, berdasarkan statistik JMM tahun lepas, seramai 3.2 juta pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke muzium berbanding 3.1 juta pada 2017.

Katanya, melihat kepada peningkatan tersebut, beliau menyasarkan penambahan 100,000 pengunjung melawat muzium seluruh negara pada tahun ini.


Sementara itu, Mohd. Azmi berkata, JMM memberi peringatan kepada pihak swasta yang ingin menubuhkan muzium persendirian untuk memastikan agenda penubuhannya tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, hal itu bagi memastikan tiada unsur negatif dipamerkan secara terbuka yang dikhuatiri menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Kita akan mengambil tindakan mengikut akta yang sesuai sekiranya ada muzium persendirian dan muzium swasta melanggar peraturan yang ditetapkan khususnya dalam isu melibatkan sensitiviti masyarakat dalam negara,” katanya.