Video oleh NURULANUAR MANSOR

Mereka yang merupakan sebahagian daripada 1,000 usahawan belia luar bandar Selangor yang terpilih menyertai program Mobileprenuer anjuran Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) hari ini menerima bantuan perniagaan berbentuk sebuah motosikal dan peralatan perniagaan bernilai RM10,000 setiap seorang serta latihan keusahawanan.

Menurut para penerima, mereka dapat melihat perubahan besar bakal berlaku dalam kehidupan masing-masing dengan pemberian bantuan berkenaan.

Majoriti daripada mereka menyatakan, sebelum ini mereka menghadapi berbagai halangan untuk menceburi bidang keusahawanan akibat kekangan modal, namun, semua itu kini telah diatasi dengan pemberian bantuan dan latihan yang diterima melalui program [email protected] yang dijayakan oleh Felcra Training Consultancy (FTC) ini.

Usahawan mobileprenuer komputer, Kon Pey Ying, 30, berkata kepada Utusan Online, bantuan yang diterima itu telah kasi can impiannya untuk berkerja sendiri.

Menurut beliau, sebelum ini dia hanya mampu untuk memberikan perkhidmatan membaiki komputer secara sambilan kerana kekurangan modal untuk membeli peralatan yang secukupnya.

"Kekangan yang saya hadapi sebelum ini telah dapat diatasi dengan bantuan motosikal dan peralatan ini.

"Dengan bantuan ini saya yakin akan dapat meluaskan lagi perkhidmatan serta menambah pendapatan pada tahun baru ini jelas beliau.

Bagi usahawan mobilepreneur spa kecantikan, Aida Razila Abdul Karim, 39, pula, bantuan yang diterima akan membolehkan beliau untuk lebih berdikari dalam menjalankan perusahaannya.

Menurut beliau, ketiadaan kenderaan sebelum ini telah mengecilkan jumlah pelanggan kerana tidak mampu untuk bergerak jauh tanpa bantuan suami.

"Bantuan ini membolehkan saya bergerak jauh dan mencapai lebih ramai pelanggan tanpa membebankan suami.

"Ini bermakna pendapatan keluarga juga akan bertambah dan tidak hanya terbeban kepada suami," kata ibu kepada tujuh orang anak itu.

Mobileprenuer Automatif, Suresh Nagalingam, 27, pula menyatakan, bantuan yang diterima dilihat bakal membantu beliau mengembangkan lagi perniagaan bengkel kereta miliknya.

Kata beliau, sebelum ini dia hanya mampu membaiki satu atau dua kenderaan pelanggan di kawasan rumah keluarganya dan peralatan yang tidak mencukupi.

"Dengan motosikal yang diberikan ini saya kini boleh melakulan kerja-kerja membaiki kenderaan di rumah mereka.

"Perlatan yang diberikan juga baharu belaka serta lengkap. Saya amat gembira dan bersyukur kerana terpilih untuk menyetai program [email protected] ini," jelas beliau dengan penuh keceriaan.

Menurut Pengerusi FTC, Datuk Abdul Shukur Idrus, kerajaan melalui KKLW telah memperuntukkan lebih RM10 juta kepada FTC untuk menjayakan program Mobileprenuer yang telah masuk tahun kedua perlaksanaannya itu.

Jelas beliau, bantuan yang diberikan itu adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memperbaiki taraf hidup dengan aktiviti keusahawanan berasaskan kemahiran.

"Kerajaan hanya mahukan para penerima untuk menggunakan bantuan yang diberi dan memperbaiki kehidupan mereka dan keluarga.

"Mereka tidak perlu membayar kembali satu sen pun daripada bantuan ini, 'bayaran' yang perlu mereka buat ialah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan menggunakan bantuan yanh diberi sebaik mungki ," kata beliau selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Kampung Setia dekat sini hari ini.

[email protected] yang diperkenalkan pada Mei 2016 merupakan inisiatif kementerian bagi melahirkan usahawan belia luar bandar bagi menjalankan perniagaan berkonsepkan berge­rak menggunakan motosikal.

Berdasarkan kajian KKLW ke atas 500 peserta [email protected] pada 2016 hingga Julai lalu, hampir keseluruhan peserta berjaya meningkatkan pendapatan mereka melebihi 10 peratus.

Kira-kira 75 peratus daripada mereka berjaya melonjakkan pen­dapatan sebanyak 30 peratus, manakala bakinya meraih pendapatan lebih 100 peratus berban­ding sebelumnya.

Sebanyak 13 bidang perkhidmatan dikelaskan pada tahun ini, iaitu perkhid­matan automotif, elektrikal, pendi­ngin hawa, spa kecantikan, jahitan, gunting rambut dan dandanan.

Turut ditawarkan adalah per­khidmatan motosikal, kimpalan, komputer, fotografi, elektronik, penyelenggaraan paip dan bangunan. - UTUSAN ONLINE