Video oleh MD AZRIN ROSLY

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Toh Choong Siang berkata, hasrat tersebut dapat dicapai melalui kerjasama semua warganya.

Katanya, sebagai Panglima 1 Divisyen ke-26, beliau mengariskan lima teras utama kepada anggota dan pegawai.

“Lima teras utama itu ialah ketumbukan mapan, kesatuan, profesionalisme, pengurusan berkesan dan kebajikan.

“Saya percaya, lima teras ini adalah satu strategi atau pendekatan untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perbarisan Pembacaan Perintah Ulung Panglima 1 Divisyen dan Majlis Sambutan Hari Raya, Gawai dan Kaamatan Bersama Warga 1 Divisyen di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan sebentar tadi.

Yang turut hadir, Panglima 3 Briged, Mohd. Bustaman Mat Zin, Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Fadzil Tajudin dan Pemangku Panglima 9 Briged, Left. Kol. Abdul Razak Hashim.

Mengulas lanjut, Choong Siang memberitahu, 1 Divisyen juga dalam keadaan mencabar dengan bersempadan dengan negara jiran, Indonesia dan Brunei yang panjangnya kira-kira 2,000 kilometer (km).

“Justeru itu, kita perlu menggunakan semua sumber yang telah diberikan sebaik mungkin meskipun tidak mendapat sepenuhnya keperluan 100 peratus.

“Segala peralatan dimiliki perlu diselenggara dengan baik agar dapat digunakan bila-bila masa apabila diperlukan,” ujarnya.

Beliau berkata, warga 1 Divisyen juga perlu sentiasa menjaga disiplin dan menentukan mereka berada dalam tahap terbaik dari segi kepakaran melalui kursusu dan latihan dari masa ke semasa.

Dalam pada itu, beliau berharap, agar Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera yang baharu, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dapat melihat keperluan di sini agar mencapai tahap diingini termasuk pengoperasian sepenuhnya 31 Briged bertanggungjawab menjaga sempadan yang luas di sini. -UTUSAN ONLINE