Timbalan Ketua Eksekutifnya, Amirul Baharom berkata, setakat ini seramai 1,200 penyertaan telah mengesahkan penyertaan bagi tiga acara yang dipertandingkan.

"Penyertaan masih dibuka kepada orang ramai yang ingin menyertai acara ini dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada hari kejohanan iaitu 17 September nanti.

"Kategori yang dipertandingkan bukan berbentuk perlumbaan malah merangkumi acara 25 kilometer (km) Fun Ride, 90 km Scenic Ride dan 160 km Endurance Ride," katanya dalam sidang akhbar ACL2017 dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Zamri Mat Kasim.

Amirul berkata, acara yang akan berlangsung di Avillion Admiral Cove, Port Dickson itu menawarkan hadiah menarik kepada pemenang selain setiap peserta akan turut menerima baju kayuhan basikal eksklusif, medal tamat kayuhan dan insurans peribadi. - UTUSAN ONLINE