Pengerusi Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), Jismi Johari berkata, rakyat Syria yang berdaftar dengan PPSMS diberikan pas khas IMM13 oleh KDN melalui Jabatan Imigresen bagi membolehkan mereka bermastautin secara sah di negara ini.

Menurutnya, dengan pas tersebut, imigran Syria juga dibenarkan bekerja, belajar dan melakukan kegiatan ekonomi masing-masing demi kelangsungan hidup mereka selagi berada di sini selain diberikan diskaun kemudahan perubatan awam sekiranya menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Jumlah sasaran kumpulan imigran Syria adalah seramai 3,000 orang telah berjaya melalui beberapa peringkat saringan KDN.

“Mahar akan terus membantu kerajaan dalam menjayakan program penempatan sementara imigran Syria ini. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan di atas program ini dan berharap ia dapat diperkembangkan kepada kumpulan pelarian lain selain dari Syria,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Mahar adalah rakan pelaksana PPSMS yang bertanggungjawab menguruskan imigran di bawah program itu.

Menurut Jismi, pihaknya telah mengasaskan Pusat Kemanusiaan Mahar untuk terus menyokong usaha kerajaan di dalam program berkenaan.

Beliau memberitahu, Pusat Kemanusiaan Mahar yang terletak di Sri Rampai di sini apabila telah lengkap sepenuhnya akan menjadi pusat pembelajaran dan latihan vokasional untuk pelbagai kerakyatan, pusat aktiviti untuk sukarelawan tempatan dan antarabangsa dan klinik kesihatan serta pergigian untuk semua golongan memerlukan tanpa mengira status ekonomi, politik mahupun kenegaraan. - UTUSAN ONLINE