Majlis ulang tahun yang disambut secara sederhana itu diadakan di Dewan Warisan sekolah dan turut dihadiri guru-guru, pelajar, bekas pelajar serta beberapa tetamu undangan termasuk Pemenang Anugerah Nobel Keamanan (Untuk Pencegahan Perang Nuklear), Datuk. Dr. Ronald McCoy.

Pengetua VI, Kamarul Azman Mohd Arif berkata, sambutan itu merupakan inisiatif Persatuan Bekas Penuntut-penuntut Sekolah Victoria (VIOBA) memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun ke-125 penubuhannya.

“Saya turut berbangga kerana turut menjadi sebahagian daripada ahli keluarga VI dan semua sedia maklum selain merupakan sekolah tertua di negara ini, VI juga tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan.

"VI juga pada suatu masa dahulu merupakan antara sekolah dominan bukan sahaja di negara ini tetapi turut tersohor seluruh dunia. Sekolah ini unik kerana umurnya yang melebihi 100 tahun dan melahirkan generasi yang cemerlang,” katanya dalam ucapan perasmian majlis sambutan itu di sini hari ini.

Antara produk keluaran VI ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; tokoh pendidikan, Tan Sri Yaacob Latiff; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar; Veteran politik, Tan Sri Rafidah Aziz; Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique dan Tan Sri Dr. Ng Yen Yen.

Pada masa sama, McCoy turut berterima kasih atas jemputan dan berbangga dapat kembali ke sekolah yang pernah menjadi tempatnya menimba ilmu suatu masa dahulu.

“Saya menyertai VI pada 1945 dan sedar selain ibu bapa, sekolah juga antara tempat mendidik yang memberi kesan dalam hidup saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan generasi VI hari ini agar mengekalkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum serta sekali gus mengharumkan nama sekolah tersebut.

Sementara itu, Pengerusi VIOBA, Khairuzzaman Muhammad berkata, persatuan dan sekolah akan terus memberikan sokongan kepada pelajar dan bekas pelajar untuk mencipta kejayaan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Hari ini kita menjemput bekas pelajar yang telah mengharumkan nama negara untuk bersama-sama menyambut ulang tahun ke-125. Ini bersesuaian dengan objektif VIOBA sendiri ingin membantu dan memberi sokongan kepada adik-adik yang sedang menuntut di sini,” katanya. - UTUSAN ONLINE