Anugerah tersebut adalah Best Colour Guard , Best Pit Percussion dan Best Marching Drill.

Dalam pertandingan peringkat akhir itu, pasukan ChienKuo High School Marching Band, dari Taiwan muncul juara dengan markah 92.2 peratus, diikuti tempat kedua, VICCB (91.6 peratus) manakala Calgary Stetson Show Band, dari Kanada, tempat ketiga (90.9 peratus).

Pasukan lain yang berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir termasuk pasukan pancaragam Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS), dari Malaysia, Taiwan SGI Tianshi Fifes and Drum Corps. dari Taiwan dan Duxing Orchestra of Xueyuan Road Primary School, Haidian District Beijing dari China.

Kejayaan ini membuktikan prestasi cemerlang pasukan itu dalam pertandingan yang disertai di dalam dan luar negara.

Selain itu, VICCB turut meraih tempat kedua dalam pertandingan Drumm Battle yang diadakan semalam.

Pengarah pancaragam VICCB, Muhaizi Mudzakir ketika dihubungi Utusan Online berkata, beliau memanjatkan rasa syukur dengan kejayaan pasukan itu membolot anugerah utama dalam pertandingan bertaraf dunia itu.

Katanya, pasukan itu berdepan cabaran sengit terutama daripada pasukan ChienKuo dari Taiwan, namun berkat kesungguhan dan latihan sejak November lalu, akhirnya mereka berjaya muncul antara tiga pasukan teratas.

Sementara itu Ketua Guru Penasihat VICCB, Hasnani Abdul Samad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuklah guru penasihat pancaragam, jurulatih, ibu bapa dan ahli yang memberi sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada kejayaan VICCB.

Ujarnya, kejayaan terbaru yang dikecapi oleh VICCB ini akan menyuntik semangat kepada pasukan pancaragam itu untuk berusaha dengan lebih gigih dan mencapai kejayaan lebih cemerlang di masa-masa akan datang.

Pasukan itu akan pulang berlepas dari Taoyuan Airport Taipei, Taiwan ke Malaysia menaiki pesawat MH367 pada pukul 3.10 petang esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 8 malam. - UTUSAN ONLINE