NOOR HISHAM

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dakwaan yang tersebar di media sosial tersebut bukan sahaja salah dari segi fakta tetapi juga mengelirukan masyarakat.

Katanya, vaksin Gardasil untuk pelalian human papillomavirus (HPV) juga sudah tidak diberi kepada wanita mengandung di seluruh dunia.

“Tdap sudah digunakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom sejak tahun 2012 untuk menangani epidemik batuk kokol dalam kalangan bayi baru lahir serta tidak dikaitkan dengan mikrosefali.

“Oleh itu, tiada langsung kaitan antara imunisasi berkenaan dengan apa yang berlaku di Brazil ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, penciptaan vaksin adalah satu perkembangan teknologi yang telah berjaya menurunkan bilangan kes dan kematian akibat penyakit cegahan vaksin.

Jelasnya, vaksin bukan sahaja digunakan di negara maju di Barat tetapi juga di negara membangun di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Katanya, penggunaan sesuatu vaksin itu hanya akan diluluskan sekiranya terbukti berkesan dan tidak memberi kesan buruk kepada manusia.

“Menjadi amalan semua negara termasuk Malaysia, sekiranya didapati mana-mana vaksin menyebabkan kemudaratan kepada manusia, ia akan ditarik balik dari pasaran,” katanya.

Beliau berkata, banyak penyakit berjangkit yang telah berjaya dihapus atau dikawal sehingga tidak lagi menjadi masalah kesihatan sejagat.

“Saya menyeru orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat khususnya berkaitan perubatan dan kesihatan daripada sumber yang sahih.

“Kejahilan kita dalam menyebarkan ilmu yang salah akan memberi impak besar kepada negara dan masyarakat, malah ke atas keluarga kita sendiri,” katanya.