Untuk mendepani cabaran ini, syarikat Utusan Melayu (M) Berhad sudah melaksanakan pelbagai langkah termasuk memperhebat kandungan digitalnya melalui portal Utusan Online dan Kosmo Online, namun sokongan pembaca terhadap akhbar cetak tetap ditagih.

Sehubungan itu Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor berkata, beliau berharap akhbar seperti Utusan Malaysia mendapat sokongan padu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu agar jangka hayatnya dalam industri media dapat terus dihidupkan.

“Seperti yang kita sedia maklum, cabaran media cetak pada ketika ini amat besar. Kehadiran media sosial telah menyebabkan semua pasaran akhbar sama ada bahasa Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, semua mengalami kemerosotan, itu kita tak dapat nafikan.

“(Sebab) Itulah kita memerlukan sokongan NGO untuk sama-sama membantu sekurang-kurangnya menjadi pembaca tetap. Kalau setiap NGO Melayu dapat membeli satu naskhah akhbar, bayangkan bagaimana keadaan yang begitu besar dapat bantu syarikat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) di Dewan Utusan di sini hari ini.

Mohd. Hassan turut mengimbau sejarah penubuhan Utusan yang disifatkan sebagai syarikat milik orang Melayu dan ditubuhkan atas semangat kebangsaan Melayu.

“Kini, Utusan menghampiri usianya 80 tahun pada tahun depan, terus melaksanakan visi dan misi pengasasnya, memegang amanah dalam membela nasib bangsa Melayu dan keseluruhan rakyat Malaysia melalui pelbagai penerbitannya,” katanya.