A. Rahman Mahadi
A. RAHMAN

Pengerusi Majlis Suara Melayu Johor (Suara), A. Rahman Mahadi berkata, hak dan kepentingan Melayu perlu terus dijuarai akhbar ini dalam keadan yang semakin mencabar ketika ini.

"Tidak ada akhbar lain selain Utusan Malaysia yang memperjuangkan agenda dan kepentingan Melayu serta bumiputera sejak dahulu, malah sebelum merdeka lagi.

"Utusan Malaysia sekarang sudah 'bebas' dan perlu menggunakan kelebihan itu untuk bersuara dengan lebih lantang, tidak perlu takut lagi dengan pemerintah atau parti politik selagi merasakan perkara tersebut benar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Taklimat Keselamatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Johor di LC Catering, di sini malam tadi.

A. Rahman mengulas mengenai perkembangan Utusan Malaysia apabila UMNO telah menamatkan penguasaan dalam Utusan Melayu (M) Berhad apabila melepaskan pegangan saham sebanyak 31.6 peratus dalam syarikat akhbar ini pada 8 Februari lalu.

Dalam urusniaga terbabit UMNO telah melepaskan pegangan ke atas 35 juta unit saham Utusan kepada Opulence Asia Sdn Bhd.

Opulence Asia Sdn. Bhd. merupakan syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir. - UTUSAN ONLINE