Pengetua Sekolah Menengah (SM) Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Assyakirin, Johari Abu Bakar berkata, pihaknya amat berpuas hati sepanjang melanggan akhbar tersebut pada tahun lalu setelah mendapat banyak reaksi serta perkembangan positif daripada para pelajar.

“Bahan bacaan yang terkan­dung di dalam akhbar tersebut sesuai dengan semua subjek yang diajar di peringkat sekolah, lebih-lebih lagi ia turut selaras dengan pendekatan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

“Kita telah memanfaatkan Utusan Pelajar dengan menggunakannya pada setiap Rabu iaitu ketika bermulanya program Nilam antara pukul 7 hingga 7.30 pagi yang memerlukan pelajar merekodkan setiap artikel yang dibaca,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.

SM Arab JAIM Assyakirin mula melanggan Utusan Pelajar sejak tahun lalu dan pada tahun ini, sebanyak 1,470 naskhah dilanggan untuk sepanjang tahun.

Menurut Johari, akhbar tersebut turut membantu para pelajar mendalami bahasa Melayu terutama mempelajari penggunaan struktur ayat yang betul menerusi bahan-bahan renca­na.

Di samping itu katanya, dalam Utu­san Pelajar, banyak pengetahuan am yang mampu mem­bantu pelajar sekolah ber­kenaan kerana artikelnya mengikut perkembangan semasa.

“Apabila kita mahu mengedarkan Utusan Pelajar pada hari ber­kenaan, pelajar tidak sabar untuk membacanya sehingga ada yang berebut kerana mereka mudah faham dengan artikel yang ditulis.

“Selain itu, ada juga bahan bacaan dalam Utusan Pelajar yang menguji minda para pelajar, sekali gus membuatkan mereka berfikir tentang perkara yang dibaca,” ujarnya.

Pada masa sama Johari memberitahu, pihaknya masih menggunakan Utusan Pelajar edisi tahun lalu kerana mendapati bahan yang terkandung tidak lapuk dan masih relevan untuk disampaikan kepada para pelajar.