Ketua Biro Utusan Malaysia Johor, Luqman Haziq Abdullah memenangi tempat pertama kate­gori Laporan Berita Pelancongan Kebudayaan Terbaik manakala wartawan, Mohd. Azizi Majid memenangi tempat pertama bagi kategori Berita Pembangunan Terbaik.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan sijil.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Yang turut hadir, Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak.

Dalam pada itu, bekas wartawan Utusan Malaysia, Jaafar Ahmad, 60, turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.

Jaafar yang bersara pada tahun 2010 dengan jawatan terakhir sebagai wakil daerah di Batu Pahat turut ditemani isterinya, Azmawatu Abd. Rauf, 52, menerima anugerah tersebut daripada Mohamed Khaled.

Beliau berterima kasih dan bersyukur kerana kerajaan negeri dan KMJ tetap menghargai sum­bangannya selama ini.

“Saya amat terharu dengan anugerah yang diberikan, apatah lagi disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Johor,” katanya.

Anugerah Media Johor 2014 mempertandingkan 17 kategori bagi media cetak dan media elek­tronik termasuk fotografi minat insani, penyiar radio, wartawan dan jurukamera televisyen serta liputan berita terbaik.