Wartawan sambilan, Asma Hanim Mahmood memenangi tempat kedua kategori Berita Media Sosial Terbaik menerusi artikel bertajuk 'Bangla Lebih Sayangkan Saya' dan membawa pulang hadiah RM700, piala, sijil dan hadiah iringan.

Tempat pertama dan ketiga kategori itu masing-masing dimenangi wartawan News Straits Times (NST) Sharifah Mahsinah Abdullah menerusi artikel 'She Learned Orang Asli To Reach Pupils' serta wartawan Bernama, Fakri Awang (Ketinggian Peribadi, Kerendahan Diri, Sifat Peribadi Sultan Muhammad V).

Sharifah Mahsinah membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala, sijil dan hadiah iringan manakala Fakri menerima RM500, piala, sijil dan hadiah iringan

Sementara itu, jurugambar Kumpulan Utusan, Shiddieqiin Zon memenangi tempat ketiga kategori Foto Terbaik menerusi hasil bidikan kameranya yang bertajuk '7 Pelajar Tahfiz Maut Kemalangan'.

Shiddieqiin yang kini berkhidmat di ibu pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur membawa pulang hadiah wang tunai RM500, piala, sijil dan hadiah iringan.

Juara kategori itu dimenangi jurugambar sambilan Kumpulan NSTP, Nik Abdullah Nik Omar (Bermandi Lumpur) manakala naib juara disandang jurugambar Bernama, Shahuri Awang (Solat Jumaat Ketika Banjir).

Selain dua kategori itu, MAKK 2017 yang memasuki edisi keempat penganjuran mempertandingkan lima kategori lain iaitu Berita Akhbar Terbaik, Rencana Akhbar Terbaik, Berita TV Terbaik, Rencana TV Terbaik serta Visual TV Terbaik.

MAKK 2017 juga menyaksikan wartawan Berita Harian, Mohd. Zulkifli Zainuddin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kewartawanan Kelantan 2017 menerusi laporan beliau bertajuk 'Kelantan Lubuk Pil Kuda'.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim dan isteri, Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri Syarifah Azwan Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa; Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Tunas Duta Cemerlang, Mohd. Hafizuddin Hiew dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim. - UTUSAN ONLINE