Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor menerima anugerah tersebut daripada Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dalam maj­lis yang diadakan di Hotel Palm di sini.

Anugerah itu sebagai menghargai peranan dan sumbangan akhbar itu dalam melaporkan berita dan perkembangan terkini mengenai universiti berkenaan.

Pemenang anugerah itu mene­rima piala, sijil dan wang tunai RM700.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani; Pengarah Pusat Komunikasi Strategik universiti itu, Dr. Faizal Kasmani dan kira-kira 60 petugas media.

Selain itu, Utusan Malaysia memenangi dua lagi anugerah iaitu Penulisan Rencana Kategori Program Kampus melalui wartawan Meja Pendidikan, Mohd. Sai­ful Mohd. Sahak serta Liputan Berita Kampus Kategori Semasa.

Pemenang kedua-dua kategori membawa pulang piala, sijil penghargaan serta wang tunai RM500.

Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Negeri Sembilan, Ainol Amriz Ismail dan wartawan, Farabi Sheikh Said Al Jabri pula masing-masing mendapat penghargaan daripada USIM apabila menerima Anugerah Senandung Budi.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih terhadap peranan yang dimainkan oleh media dalam memperkenalkan USIM kepada masyarakat.

Katanya, secara purata setiap hari sebanyak enam berita mengenai aktiviti dan kejayaan universiti tersebut disiarkan di media cetak dan elektronik.

Beliau juga berharap supaya kerjasama yang terjalin antara USIM dan media akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.