Selain laporan berita yang ber­kisar kepada kisah politik di dalam dan luar negara, Utusan Malaysia turut menyumbang kepada masyarakat melalui penghasilan berita berbentuk siasatan dan laporan khas.

Hasil daripada itu, Utusan Malaysia meneruskan kecemerlang­an apabila karya-karya wartawannya diiktiraf dalam majlis Malam Wartawan Malaysia 2017 (MWM 2017) dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2016 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) malam semalam.

Laporan bertajuk Penganuge­rahan dan Penerimaan Gelaran Palsu yang dihasilkan oleh Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar bersama Penolong Ketua Meja Jenayah, Mohammad Yasir Jaafar dinobatkan Pemenang Bersama Kategori Laporan Berita Cemerlang manakala wartawan Meja Jenayah, Maszureen Hadzman diisytiharkan sebagai Pemenang Bersama Kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail.

Karya Pengarang Berita Utusan Malaysia, Saiful Haizan Hasam bertajuk Perhambaan dunia mo­den terhadap pekerja haram Malaysia di ladang-ladang Australia memenangi hadiah sagu hati bagi kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang manakala Ketua Unit Meja Sains dan Teknologi Utusan Malaysia, Laupa Junus berjaya memenangi Kategori Penulisan Rencana Cemerlang.

Kosmo! iaitu akhbar milik Kumpulan Utusan, turut berjaya me­rangkul Kategori Kartun Editorial Terbaik melalui kartunis, Kamarul Khazim Sulaiman manakala kartunis Utusan Malaysia, Nor­ka­maro Mohd. Noor mene­rima ha­diah sagu hati.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berkata, selain pendedahan dalam memerangi ketirisan dan rasuah, Utusan Malaysia juga akan meneruskan laporan yang mendedahkan ke­pincangan berkaitan isu penguatkuasaan dan alam sekitar.

“Banyak pendedahan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia telah memberi impak sehingga membawa kepada penggubalan undang-undang lebih berkesan seperti isu penganugerahan darjah kebesaran palsu.

 “Laporan khas yang menyentuh mengenai ketirisan subsidi, pengelakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan gejala premis judi haram juga telah membuka mata banyak pihak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, laporan siasatan secara mendalam turut memberi kesan sehingga ke peringkat antarabangsa sebagaimana pendedahan manipulasi majikan terhadap pekerja asing termasuk dari Malaysia di ladang-ladang di Australia.

“Ramai rakyat Malaysia tertipu, laporan tersebut yang pertama kali seumpamanya turut mengundang pujian media Australia.

“Kejayaan Utusan memenangi tiga hadiah utama Anugerah Ke­wartawanan MPI adalah hanya sebahagian daripada sekian ba­nyak laporan eksklusif saban masa yang menjadi tradisi akhbar ini.

“Inilah antara agenda utama kami iaitu berorientasikan rakyat dan pembinaan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut mengucapkan terima kasih kepada pembaca dan penyokong Utusan Malaysia terutama kepada agensi yang telah bekerjasama menjayakan laporan-laporan tersebut di sebalik banyak cabaran.

“Tanpa so­kongan anda semua ia tidak akan membawa erti,” katanya.