Program yang diberi nama Klinik Jawi Utusan itu me­maparkan sesi pembelajaran jawi di bawah bimbingan Munsyi (jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sabri Azit. Setiap video berdurasi antara lima ke 10 minit.

Pengarang Utusan Me­layu Mingguan, Mohd. Radzi Mohd. Zin berkata, klinik tersebut dibangunkan me­ngikut teknik DOUWRA hasil ilham Sabri yang mendapat tempat ketiga Anugerah Inovatif 2017 di Kedah dan johan Peringkat Daerah Kota Setar 2017.

Katanya, teknik tersebut adalah salah satu cara ba­gaimana menyelesaikan per­­­­masalahan pelajar aras menengah untuk merangkai huruf–huruf jawi bagi me­ngeja perkataan.

DOUWRA ialah huruf-huruf yang dipadankan dalam Jawi sebagai mewakili huruf pemutus. Maksud huruf pemutus ialah huruf yang tidak bersambung dengan huruf di hadapannya.

“Masalah yang dihadapi di sekolah-sekolah harian di seluruh Malaysia ialah mereka tidak dapat memberi pada­nan yang sesuai dengan huruf Jawi serta tidak dapat merangkai menjadi satu per­kataan dalam menulis tulisan jawi.

“Dengan adanya teknik ini, ia akan memudahkan para pelajar yang tahap lemah dan sederhana menguasai tulisan jawi sekaligus menimbulkan minat menguasai jawi,” kata­nya di sini, hari ini.

Sebagai permulaan, ma­sing-masing satu video akan ditayangkan setiap Jumaat untuk selama tiga minggu. Jumlah keseluruhan video adalah 10 siri. Sesi rakaman dijalankan di sekitar Yan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah, Kota Sarang Semut, Kedah, Mei lalu.

Mohd. Radzi menambah, selain menawarkan kaedah pembelajaran terkini iaitu melalui online, pembaca juga boleh mengikuti Klinik Jawi yang disiarkan dalam muka surat 12 akhbar Utusan Me­layu Mingguan sama ada edisi bercetak atau melalui portal jawi utusanmelayu.com.my.

“Diharap gabungan kaedah pembelajaran dalam bahan bercetak dan secara online dapat menyemarakkan penguasaan dan minat masyarakat terhadap tulisan jawi yang pernah berperanan penting dalam usaha penyebaran ilmu terutamanya ilmu agama, seterusnya digunapakai secara meluas sebagai medium komunikasi oleh orang Melayu sama ada dalam kalangan ahli masyarakat mahupun de­ngan pihak luar.