Sasterawan Negara, Moha­med Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Malim Ghozali berkata, syarikat akhbar Melayu itu telah banyak melahirkan penulis berbakat dengan mutu karya yang dipersembahkan sangat baik.

“Saya rasa itu bukannya satu bonus tetapi merupakan kesan langsung daripada penganjuran HSKU sejak dari 1985 lagi kepada orang ramai.

“Pepatah Melayu ada menyebut, tak kenal maka tak cinta. Jadi, dunia sastera perlu diper­kenalkan kepada generasi muda kerana kebanyakannya hanya mengetahui sastera secara umum tetapi tidak mengerti perkara sebenarnya.

“Ini kerana, dalam sastera ada terkandung banyak genre dan menjadi tugas kita untuk merangsang penglibatan penulis muda hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

HSKU merupakan acara tahunan yang dianjurkan bagi menghargai karya-karya sastera dalam kategori cerpen, sajak, esei dan novel remaja.

Mengulas lanjut, Mohamed Ghazali yang juga penulis novel menyarankan, satu mekanisme diperkenalkan dalam usaha menarik minat ramai terhadap penulisan karya sastera yang terpaksa menghadapi persaingan dengan karya lain.

“Sekarang ini, cabaran dan persaingan sangat banyak daripada karya bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Jadi, kalau kita tewas dalam mengangkat karya itu ke peringkat antarabangsa sudah tentu masa depan penulisan tersebut akan menjadi gelap.

“Walaupun hari ini ramai penulis yang bagus, namun, jumlah karya juga perlu selari dengan penglibatan yang lebih ramai. Kalau yang terlibat itu sedikit maka peratusannya (karya sastera) juga akan menurun,” jelasnya.