Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, Utusan memahami PSM mempunyai alasan tertentu untuk tidak mengiktiraf Kejohanan Sepaktakraw Utusan 2017.

“Saya faham kita tidak dapat pengiktirafan daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia. Tetapi bagi pihak Utusan kita memang seharusnya menghormati keputusan mereka.

“Kerana mereka mempunyai tugas dan objektif mereka sendiri dalam sukan sepak takraw,” kata Mohd. Noordin yang ditemui selepas melancarkan Kejohanan Sepaktakraw Utusan 2017 di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Negeri Sembilan hari ini.

PSM baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa persatuan itu menarik balik kelulusan terhadap Kejohanan Sepaktakraw Utusan 2017  kerana melanggari undang-undang permainan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Mohd Noordin menjelaskan, usaha Utusan menganjurkan kejohanan itu hanya untuk menyemarakkan minat terhadap sukan sepak takraw dalam kalangan rakyat negara ini dan membantu mengembalikan kegemilangan sukan itu.

 

“Kita mahu menyatakan kepada mereka objektif kita begitu mudah. Kita mahu lebih ramai rakyat Malaysia terus menyukai sukan sepak takraw dan mengharapkan generasi pelapis ini mengharumkan nama negara sekali gus membantu Persatuan Sepak Takraw menaikkan imej sukan sepak takraw Malaysia. 

“Kami pihak Utusan hanyalah berusaha untuk menaikkan kembali minat rakyat kepada sukan sepak takraw.  Nawaitu kita suci. Dengan itu kita berharap satu masa nanti kita dapat bekerjasama dengan PSM demi sukan yang kita cintai,” kata Mohd. Noordin.

Jelas Mohd. Noordin Kejohanan Sepaktakraw Utusan tidak mendapat pengiktiran kerana pengiraan 15 mata bagi perlawanan peringkat kumpulan, namun untuk peringkat akhir pengiraan 21 mata digunakan.

Mohd. Noordin berkata, walaupun tidak mendapat pengiktirafan PSM kejohanan itu tetap diteruskan kerana objektif Kejohanan Sepaktakraw Utusan adalah bersifat karnival dan sukan rakyat.

Turuh hadir pada majlis pelancaran adalah Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarah Pemasaran Mesuma Sports Sdn. Bhd. William Heng.

Sebanyak 334 regu dari seluruh negara menyertai Kejohanan Sepaktakraw Utusan. Kategori Lelaki Bawah 12 disertai 58 regu, Kategoru Lelaki Bawah 14 (58 regu), Kategori Lelaki Bawah 16 (61 regu, Kategori Bakat Baru (31 regu), Kategori Vateren (32 regu) dan Kategori Lelaki Terbuka (94 regu).

Kejohanan Sepaktakraw Utusan merupakan pertandingan sepak takraw terbesar di Malaysia. - UTUSAN ONLINE