Mohamed Faroz Mohamed Jakel

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel), Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, dengan adanya anugerah sebegini, syarikat bumiputera akan bertungkus-lumus untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, syarikat-syarikat bumiputera juga harus melakukan transformasi ke arah globalisasi seiring dengan penyer­taan kerajaan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Malah, menurut beliau, syarikat-syarikat bumiputera harus lebih yakin dengan kemampuan masing-masing ke arah globalisasi.

“Majlis anugerah seperti ini akan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat tempatan yang menjadi tunggak kepada ekonomi negara. Ini kerana merekalah (syarikat-syarikat) majikan kepada majoriti golongan pekerja di Malaysia.

“Majlis anugerah ini merupakan inisiatif yang progresif bagi tujuan mengiktiraf kecemerlangan di dalam bidang perniagaan dan keusahawanan syarikat-syarikat tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

UBA 2015 akan dijalankan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada 1 Mac ini dengan menyaksikan 35 buah syarikat merangkul trofi anugerah kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Anugerah-anugerah yang disampaikan dibahagikan kepada tiga ka­tegori iaitu anugerah kecemerlangan mengikut sektor, anugerah kecemerlangan kepimpinan dan anugerah pencapaian sepanjang hayat.

Pada acara yang julung kali dianjurkan oleh organisasi media paling berpengaruh di Malaysia itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Diraja Anugerah berkenan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut.