Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ini kerana bangsa maju dan bertamadun begitu sedar akan hakikat bahawa pembangunan ekonomi dan peneguhan budaya seiring untuk membentuk sebuah negara yang hebat.

“Akal budi Melayu dan Islam adalah tonggak penting ke arah kemajuan demi mencipta negara yang berpendapatan tinggi. Bangsa yang sanggup bersaing dan berusaha akan dapat mencipta tamadun dan peradaban ke arah kecemerlangan masa depan.

“Bangsa yang berilmu tidak akan mudah ditipu dan digula-gulakan dalam politik,” katanya ketika berucap dalam maj­lis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2016, di sini hari ini.

Menurut beliau, melalui akal dan budi seseorang itu dapat menilai kebenaran dan kebatilan.

Selain itu katanya, ia dapat membentuk tingkah laku, jiwa sensitif, rasional dan intelek.

“Melalui pemikiran waras dan tajam seseorang akan dapat meningkatkan kefahaman serta keyakinan terhadap isu agama, politik dan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Wahid yakin, usaha Kumpulan Utusan untuk menganjurkan HSKU Ke-32 itu sebagai wadah perjuangan dalam memartabatkan dunia penulisan dan kesusasteraan dapat membentuk masyarakat yang kukuh jati dirinya.

“Kesan daripada penganjuran HSKU ini cukup besar bagi menggilap bakat sasterawan baru.

“Pada masa sama, ia memberi ruang kesinambungan kepada sasterawan tersohor termasuk yang bertaraf Sasterawan Negara untuk terus berkarya. Syabas diucapkan kepada Utusan Melayu,” katanya.