Harapan itu dizahirkan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang mahu UTM membantu membuat kajian lebih terperinci untuk mengekalkan kebersihan sungai yang tercemar.

Beliau berkata, seperti diketahui, baru-baru ini, Johor ditimpa musibah akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang mencemarkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga menyebabkan sebahagian besar penduduk termasuk murid sekolah menerima kesan buruk.

“Pencemaran air serta udara di Pasir Gudang itu merupakan perkara serius yang perlu ditangani, malah saya turut mendapat maklum bahawa sungai lain di negeri ini turut menerima nasib yang sama.

“Oleh itu, saya menyeru supaya kita dapat bersama-sama mempertahankan kebersihan sungai yang merupakan sumber utama minuman serta keperluan harian selain menjadi habitat bagi haiwan dan tumbuh-tumbuhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-62 UTM, di sini hari ini.

Seramai 1,757 graduan menerima kelulusan masing-masing yang membabitkan peringkat Ijazah Doktor Falsafah (227), Ijazah Sarjana (741), Ijazah Sarjana Muda (741) dan Diploma (48).

Raja Zarith memberitahu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar amat mengambil berat akan hal kebajikan dan keselesaan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, kepada para graduan, beliau berpesan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa yang banyak berkorban dalam memastikan kejayaan anda semua.

Beliau berkata, hargailah mereka, curahkanlah kasih sayang yang sepenuhnya serta balaslah jasa baik mereka. - UTUSAN ONLINE