Ketua Projek yang juga Timbalan Naib Canselor dan Inovasi UTM, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, alat haemodialiser pertama buatan tempatan itu mempunyai kelebihan berban­ding alat import yang digunakan di negara ini pada masa ini.

Menurutnya, alat hemodiali­ser itu merupakan projek fasa pertama daripada empat fasa dalam pembangunan sistem haemodialisis buatan tempatan untuk penyucian darah dan alat tersebut dijangka memasuki pasaran dalam tempoh dua tahun.

“Alat haemodialiser yang diba­ngunkan kami itu lebih produktif kerana mempunyai kadar penyucian darah lebih pantas iaitu 14 liter seminit berbanding produk import yang digunakan iaitu lapan liter seminit.

“Sebagai ahli akademik, menjadi tanggungjawab kami menghasilkan sebuah haemodialiser berkos rendah yang mempunyai membran berkualiti tinggi. Jadi, kami bangunkan alat pertama seum­pamanya buatan Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat seramai 38,000 pesakit buah pinggang direkodkan pada tahun lalu dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 43,000 pesakit pada tahun ini mengikut statistik Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).

Tambahnya, beliau menjangkakan penggunaan alat haemodialiser tempatan itu kelak dapat mengurangkan 30 peratus kos yang terpaksa ditanggung kerajaan kerana lebih murah daripada produk yang diimport seperti dari Jepun dan Jerman.

Dr. Ahmad Fauzi berkata, sebagai langkah pengkomersialan produk tersebut, pihaknya menerusi Advanced Technology Research Centre (Amtec) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Foresight Industries Sdn. Bhd.