Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori UTeM, Fazidah Ithnin berkata, walaupun berlatar belakangkan universiti teknikal, UTeM tidak meminggirkan program seumpama itu yang dilihat penting untuk terus diadakan bagi memperkasakan budaya bangsa.

Menurutnya, program kesenian bangsa terutamanya kesusaste­raan Melayu diadakan bukan sahaja untuk memberi galakan kepada pelajar mencintai budaya warisan malah turut menarik minat para pensyarah serta warga UTeM yang lain bagi mempamerkan bakat terpendam.

“Selain Malam Puisi Utusan-UTeM 2015 yang berlangsung kelmarin, UTeM turut mempunyai pelbagai pengisian program lain yang diangkat hingga ke peringkat tinggi sebagai usaha serta bukti komitmen padu ke arah memartabatkan budaya bangsa Melayu.

“Penganjuran program seumpama ini seterusnya mampu menjadi platform serta peluang kepada penuntut tidak mengira bangsa mahupun latar budaya untuk mengekspresikan bakat seni terutamanya kesusasteraan Melayu termasuk puisi, syair, sajak, gurindam dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Jelas Fazidah, pihaknya akan meneruskan komitmen memperkasakan kesenian budaya Melayu pada masa-masa akan datang malah segala perancangan mengenai penganjurannya telah dirancang awal melibatkan semua warga UTeM.

“Antara program yang telah dirancang dan pernah diadakan termasuklah Debat Bahasa Melayu melibatkan pelajar antara fakulti UTeM di mana juara pertandingan tersebut akan mewakili UTeM ke pertandingan peringkat kebangsaan, Debat Piala Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad,” ujarnya.

Selain itu, katanya, UTeM turut menganjurkan program Pidato dan Pesta Pantun selain Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat UTeM 2015 dari 16 hingga 20 November ini yang merupakan acara tahunan.

Tambahnya, program anjuran Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan yang dikelolakan Dekan pusat tersebut, Dr. Zawiah Mat itu turut akan menyelitkan pelbagai aktiviti berkaitan kesenian budaya Melayu termasuk pertandingan menulis kaligrafi jawi, pertandingan puisi, pantun dan pidato.

“Kesemua program yang dirancang ini merupakan landasan disediakan pihak UTeM bagi mengga­lakkan lagi penglibatan pelajar serta warga UTeM untuk memartabatkan kesenian budaya Melayu.

“Lebih penting lagi, kita turut berhasrat melibatkan pelajar kaum lain menyertai program ini sebagai pendedahan baharu serta usaha mendekatkan mereka dengan keunikan serta kesenian budaya Me­layu,” katanya.