Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, kerajaan juga dinasihatkan supaya tidak terlalu mengejar sistem pensijilan ISO dalam kalangan agensi tadbiran mereka.

Katanya, 'keghairahan' kerajaan mengikut atau mengejar kedua-dua pendekatan itu tidak memberi kesan yang baik kepada penjawat awam.

"Kedua-dua pendekatan ini merupakan sekatan kepada percambahan idea-idea baharu yang boleh memacu perkembangan negeri atau negara," katanya dalam sesi penggulungan Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Dalam pada itu, ketika sesi soal jawab bersama Abdul Wahid, beliau menerangkan bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan kepada kumpulan rakyat yang layak, adalah bersifat sementara.

Menurut beliau, hakikatnya kerajaan meletakkan sasaran meningkatkan pendapatan rakyat dalam tempoh jangka panjang menerusi pelbagai program dan sebelum hasrat itu dapat direalisasikan, kumpulan itu perlu dibantu.

"BR1M hanyalah untuk jangka pendek untuk mendidik rakyat supaya mereka terus belajar dan berusaha. Meningkatkan pendapatan rakyat merupakan sasaran jangka panjang yang dirangka kerajaan," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE